• Ekspo Dekatkan Kerajaan Dan Rakyat

    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    ALOR SETAR: Ekspo Muafakat Kedah mencapai objektif penganjurannya apabila berjaya mendekatkan kerajaan dengan rakyat negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata lebih 500,000 pengunjung menghadiri ekspo yang berlangsung selama lapan hari itu.

    Dua hari pertama, katanya, sambutan agak perlahan tetapi selepas mendapat liputan media dan promosi, terdapat peningkatan mendadak kehadiran pengunjung.

    "Ada satu hari kita merekodkan jumlah pengunjung seramai 50,000 orang dan perkembangan ini sangat memberangsangkan.

    "Melalui program Kluster Suara Hati Kedah, kerajaan negeri juga menerima pelbagai maklum balas dan pandangan daripada rakyat.

    "Ia membolehkan kerajaan memperbaiki dan memperkasakan apa juga bidang di negeri ini demi memenuhi aspirasi penduduk Kedah," katanya yang ditemui, di sini, hari ini.

    Ahmad Bashah berkata, pihaknya bercadang menganjurkan ekspo seumpama itu sekali dalam tempoh dua atau tiga tahun bagi memperlihatkan kejayaan negeri Kedah.

    "Kita juga boleh menganjurkan ekspo sebegini di peringkat daerah pada masa depan," katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk ekspo, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail, berkata ekspo berkenaan membawa makna sebenar 'Muafakat' membabitkan semua agensi kerajaan dan rakyat negeri itu.

    "Ekspo ini menjadi platform terbaik bagi rakyat untuk menilai dan memahami perancangan serta pelaksanaan sesuatu perkara oleh kerajaan," katanya.

    Sambil menyatakan penghargaan kepada kakitangan awam yang bertungkus-lumus menjayakan ekspo itu, Ku Abdul Rahman berkata, ekspo terbabit juga bakal menjadi penanda aras dalam sebarang program pada masa depan. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Ekspo Dekatkan Kerajaan Dan Rakyat "