• Duterte elak persidangan ASEAN di Sydney

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak akan menyertai sebuah persidangan serantau di Australia bulan ini, kata jurucakap beliau hari ini, ketika pemimpin lantang itu berdepan tekanan antarabangsa berhubung perang dadah di negara sendiri.

    Keputusan Duterte untuk tidak menghadiri mesyuarat itu dilakukan selepas beliau menyatakan tidak akan bekerjasama dengan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap dakwaan pembunuhan tanpa bicara ketika operasi terbabit yang mengakibatkan ribuan orang maut.

    Jurucakap beliau, Harry Roque mengesahkan bahawa Duterte tidak akan menyertai pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk persidangan pada 17 dan 18 Mac depan di Sydney.

    "Perkembangan dalam negara memerlukan Presiden berada di Filipina," kata Roque kepada pemberita.

    Australia adalah antara negara yang membangkitkan kebimbangan terhadap jumlah kematian perang dadah Filipina di mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada tahun lalu.

    Duterte dipilih pada 2016 dengan janji menghapuskan dadah dan melancarkan operasi luar jangkaan dengan polis negara itu berkata, mereka sudah membunuh lebih 4,100 orang suspek dadah yang cuba melawan ketika cuba ditahan.

    Bagaimanapun, jangkaan beberapa kumpulan hak asasi mendakwa wujud lebih 12,000 kematian termasuk mangsa yang dibunuh kumpulan penduduk. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Duterte elak persidangan ASEAN di Sydney "