• Draf Akta Berkaitan Berita Palsu Sedang Diperhalusi

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    Draf akhir akta baharu bagi menangani penularan berita palsu masih diteliti di peringkat kementerian berkaitan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata draf akhir itu dijangka dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat.

    “Mungkin dalam masa seminggu dua ini kita akan bawa dan bentangkan ke Kabinet bagi membuat penentuan kepada akta berkenaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

    Azalina berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang berkenan menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan menggubal undang-undang menangani berita palsu menunjukkan isu terbabit menyentuh soal keselamatan negara.

    Sehubungan itu, katanya, Ahli Parlimen perlu membahaskan penggubalan akta berkenaan secara berhemah serta berteraskan kepentingan mempertahankan kedaulatan Malaysia.

    “Sebagai Ahli Parlimen, isu keselamatan negara adalah antara keutamaan yang perlu diambil kira, tanpa mengira ancaman itu hadir daripada dalam atau luar negara.

    “Penggubalan akta baharu ini penting kerana istilah ‘berita palsu’ tidak wujud dalam mana-mana undang-undang Malaysia, sekali gus mengundang risiko ancaman meliputi pelbagai kepentingan negara.

    “Setakat ini, saya tidak boleh mengulas inti pati akta menangani berita palsu kerana ia pramatang berbuat demikian,” katanya.

    Azalina menjelaskan, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum memasukkan akta baharu itu untuk bacaan kali pertama di Parlimen dan dibahaskan.

    Katanya, faktor itu termasuk tempoh persidangan Parlimen penggal keenam yang hanya akan berlangsung selama 20 hari, mulai hari ini hingga 5 April depan.

    “Hanya ada satu akta lengkap setakat ini yang sedia untuk disenaraikan (dalam peraturan mesyuarat Parlimen… lain masih menunggu kelulusan Kabinet untuk disenaraikan bagi bacaan pertama, kedua dan ketiga,” katanya.-BNBBC

    Subjects:

  • No Comment to " Draf Akta Berkaitan Berita Palsu Sedang Diperhalusi "