• Dituduh Buat Seks Atas Katil Pejabat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    Anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua tuduhan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dengan seorang wanita yang dikenali selama seminggu melalui aplikasi WeChat, tahun lalu.

    Tertuduh Nik Aris Ghazali, 24, yang berpangkat prebet bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang wanita berusia 33 tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa tanpa kerelaannya.

    Tertuduh melakukan kesalahan itu di atas katil di dalam pejabat Unit 5 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di Kota Bharu pada jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam, 26 November 2017.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan mencabul kehormatan mangsa sama.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan bagi pertuduhan kedua, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias tidak menawarkan sebarang jaminan tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan tiada alasan istimewa yang membolehkan tertuduh diikat jamin.

    Bagaimanapun, peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh adalah penyara tunggal keluarga yang perlu menjaga isteri dan anak.

    Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat dia perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi.

    Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Dituduh Buat Seks Atas Katil Pejabat "