• Didakwa peroleh, sebar maklumat sulit

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri adalah antara tiga individu didakwa di empat Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini atas enam tuduhan memperoleh sejuta unit saham dan menyampaikan maklumat yang tidak boleh didapati secara umum, tujuh tahun lalu.

    Bekas pegawai bank, Tan Giap How, 63; ahli perniagaan, Daniel Yong Chen, 47; dan isterinya, Ng Ee Fang, warga Singapura, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

    Pertuduhan terhadap mereka dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Zainal L Salleh, Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof, Hakim Hasbullah Adam dan Hakim Azman Ahmad.

    Ee Fang menghadapi tiga tuduhan memperoleh 730,000 unit saham Hirotako Holdings Berhad melalui Sistem Depositori Pusat milik ahli perniagaan, Daniel Yong Chen-I, 47, yang tidak boleh didapati secara umum, selain mempunyai kesan material ke atas harga atau nilai sekuriti terbabit iaitu maklumat cadangan tawaran pengambilalihan daripada MBM Resources Berhad untuk memperoleh semua saham undian dan waran Hirotako.

    Di mahkamah berasingan, Ee Fang yang juga bekas pegawai bank, turut didakwa memperoleh 270,000 unit saham Hirotako Holdings Berhad di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara 14 dan 20 Oktober 2011.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat setiap bulan dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, Giap How didakwa sebagai orang dalam menyampaikan maklumat kepada Ee Fang, yang tidak boleh didapati secara umum dan mempunyai kesan material kepada harga atau nilai saham Hirotako Holdings Berhad berhubung cadangan tawaran pengambilalihan daripada MBM Resources Berhad.

    Ia bagi memperoleh semua saham undian dan waran Hirotako dan mengetahui Ee Fang berkecenderungan memperoleh saham Hirotako yang perdagangannya dibenarkan di pasaran saham Bursa Malaysia Securities.

    Giap How dituduh melakukan kesalahan itu antara 25 September dan 20 Oktober 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 188(3) (a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta.

    Hakim Hasbullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, Daniel didakwa membenarkan isterinya, Ee Fang, untuk menjalankan perolehan sejuta unit saham Hirotako Holdings Berhad ke dalam akaunnya, di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara 14 dan 20 Oktober 2011.

    Pendakwan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Akta 453), yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V Shoba dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Arif Adnan Zain.

    Peguam Datuk Tan Hock Chuan bertindak bagi pihak Ee Fang dan Daniel, manakala peguam S Ramesh, mewakili Giap How.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Didakwa peroleh, sebar maklumat sulit "