• Dera amah: Datin Rozita tidak hadir ke mahkamah

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+
    SHAH ALAM 21 Mac - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan semula tarikh semakan hukuman ke atas seorang suri rumah bergelar Datin yang mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas pembantu rumah warga Indonesia hampir tiga tahun lalu.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd. Majid Tun Hamzah menetapkan tempoh berkenaan selepas responden, Datin Rozita Mohamad Ali, 44, bersama seorang penjamin gagal hadir ke mahkamah bagi proses itu hari ini.

    Sebelum itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad semasa prosiding berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah pergi ke kediaman responden dan penjaminnya masing-masing di Mutiara Damansara dan Subang untuk menyerahkan notis hadir ke mahkamah semalam.

    Bagaimanapun, kedua-dua mereka didapati tidak berada di kediaman masing-masing.

    Pada 15 Mac lalu, Rozita dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, setelah video mengenai kejadian itu telah tular dalam media sosial.

    Tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Suyanti menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih.

    Wanita itu sebelum ini didakwa atas tuduhan cubaan membunuh mangsa sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan Rozita di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara di antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Jun 2016 manakala pertuduhan ke atas Rozita dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Dera amah: Datin Rozita tidak hadir ke mahkamah "