• Demak Laut Miliki 3 Pusat Daerah Mengundi Baharu

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    KUCHING: Tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) baharu kini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu di Dewan Tabuan Lot, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Senari dan SK Tanjong Bako.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ia sekali gus melancarkan lagi proses pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, dengan adanya tiga PDM baharu ini, ia akan memudahkan para pengundi di kawasan tersebut turun mengundi terutama dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

    “Pada masa sama tiga PDM baharu ini juga akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di PDM sedia ada di kawasan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Dr Hazland turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini data pengundi di kawasan Demak Laut.

    “Kita terima banyak rungutan yang memaklumkan bahawa mereka (pengundi) terpaksa pergi ke kawasan lain untuk membuang undi kerana senarai tidak dikemas kini sekali gus menjejaskan peratusan mengundi di kawasan ini,” ujarnya.

    Tambahnya, beliau berharap agar SPR sentiasa mengemas kini senarai berikut supaya pengundi-pengundi tidak mengalami masalah ketika hari mengundi kelak. – Sarawakiana
  • No Comment to " Demak Laut Miliki 3 Pusat Daerah Mengundi Baharu "