• Delegasi Sarawak Lawat Singapura

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    SINGAPURA- Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengetuai delegasi rombongan kerajaan negeri dalam lawatan dua hari ke republik ini, berkesempatan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Thadman Shanmugaratnam di sebuah hotel, hari ini.

    Rombongan beliau yang tiba di sini semalam, dalam misi untuk meneroka peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Singapura dalam bidang pendigitalan.

    Dalam pertemuan itu, Abang Johari telah mengadakan perbincangan dengan Thadman sebelum menikmati jamuan makan tengah hari di hotel sama.

    Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zulkifli Adenan; dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan timbalannya, Datuk Sabariah Putit mewakili delegasi kerajaan Sarawak.

    Terdahulu pada sebelah pagi, Mohamad Morshidi mengetuai delegasi Ahli Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) melawat pejabat Kerajaan Digital dan Pintar Negara Singapura (SNDGO).

    SNDGO di bawah Pejabat Perdana Menteri bertanggungjawab merangka pelan dan merintis projek pintar, mendorong transformasi digital kerajaan, membina keupayaan jangka panjang untuk sektor awam, menggalak penggunaan dan penyertaan awam serta swasta untuk mengambil pendekatan kolektif membangunkan projek pintar negara.

    Pada sebelah petang pula, Abang Johari bersama rombongan dijemput untuk mendengar taklimat dan melawat bangunan Lembaga Pembangunan Media Singapura (IMDA) serta studio Mediacorp Pte. Ltd. (Mediacorp) iaitu syarikat penyiaran utama di Singapura. - UTUSAN ONLINE



  • No Comment to " Delegasi Sarawak Lawat Singapura "