• Daftar Kelahiran Anak, Elak Masalah Kewarganegaraan

    Reporter: Anyin Ayeng
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+


    MIRI: Ibu bapa khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu mendaftarkan kelahiran anak-anak bagi mengelak masalah kewarganegaraan.

    Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, terdapat kanak-kanak tidak bersekolah kerana tiada sijil kelahiran atau kad pengenalan.

    “Kita amat bersimpati kanak-kanak yang lahir di Sarawak tidak mempunyai sijil kelahiran seterusnya menyukarkan peluang kanak-kanak ini untuk bersekolah,” katanya di sini semalam.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu memberitahu, ibu bapa di luar bandar dan pedalaman perlu sedar kepentingan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Jika tiada sijil lahir atau kad pengenalan, anak-anak tidak dapat bersekolah bahkan hak mereka untuk mendapatkan bantuan kerajaan juga amat sukar,” jelasnya. 

    Terdahulu, Lee menyampaikan sijil kelahiran dan kad pengenalan kepada 19 penerima dari kawasan DUN Senadin.

    Mereka terdiri daripada pemohon berusia antara 13 tahun dan 55 tahun yang lahir di luar bandar tetapi telah berhijrah dan bekerja di kawasan bandar.

    Lee menarik perhatian, kerajaan juga telah berusaha untuk membasmi masalah buta huruf dalam kalangan penduduk luar bandar.

    “Saya akan cuba memanjangkan masalah kanak-kanak tidak bersekolah ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri agar mereka juga berpeluang untuk bersekolah,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menasihatkan ibu atau bapa yang mempunyai status warganegara Malaysia agar mendaftarkan bayi mereka selepas lahir.

    “Jika salah seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia, maka bayi yang baharu lahir itu layak menerima status kewarganegaraan Malaysia,” jelasnya.

    Hadir sama Ketua Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara Affrizan Bujang dan Ketua Operasi Biro Aduan Awam SUPP Miri Erick Chin Fen Siong.-Utusan Borneo
  • No Comment to " Daftar Kelahiran Anak, Elak Masalah Kewarganegaraan "