• Dadah Bernilai RM1.7 Juta Dirampas Di Miri

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+

    MIRI: Polis telah membuat rampasan dadah terbesar di Sarawak berjumlah RM1.7 juta berikutan penahanan seorang lelaki dalam sebuah serbuan pada Isnin lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Amer Awal berkata suspek berumur 20-an itu ditangkap di tempat letak kereta sebuah stesyen minyak di simpang Ngu, Batu Niah Jalan Miri-Bintulu dan dipercayai seorang daripada anggota sindiket yang mula aktif mengedar dadah tahun ini.

    "Dadah yang dirampas ialah methamphetamine seberat 2,578 gram, ganja (3516.38 gram), pil erimin 5 sebanyak 1,230 biji, pil ekstasi 3,568 biji dan pil dadah jenis yaba 950 biji," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata rampasan dadah itu dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu di simpang Ngu diikuti dan di sebuah rumah kediaman di Tanjung Lobang pada hari sama.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

    Amer berkata suspek telah direman tujuh hari hingga 13 Mac bagi membantu siasatan.

    "Kita sedang memburu rakan-rakan suspek yang terlibat dalam sindiket tersebut, terdiri daripada warga tempatan dan asing serta sedang mengenal pasti dari mana mereka mendapat bekalan dadah tersebut," katanya.

    Beliau berkata sindiket tersebut dipercayai menjual dadah untuk pasaran bandar raya Miri sahaja dengan menyembunyikannya dalam kotak makanan dan pek bungkusan makanan.

    Turut hadir pada sidang media ialah Ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah dan Ketua Polis Sibu ACP Stanley Johnathan Ringgit.-- BERNAMA
  • No Comment to " Dadah Bernilai RM1.7 Juta Dirampas Di Miri "