• Cuti Polis Beku Sehingga PRU14 Selesai

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan cuti untuk semua anggota dan pegawai polis dibekukan sejak beberapa minggu lalu sehingga selesai pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    “Saya telah arahkan semua cuti dibekukan sehingga selepas PRU14. Dibekukan sejak beberapa minggu lalu, sehingga PRU14.

    “Langkah ini termasuk pegawai dan anggota polis di seluruh negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

    Pada 24 Februari lalu, Bukit Aman dilapor mengeluarkan arahan kepada semua anggotanya mengenai pembekuan cuti untuk 3 bulan akan datang bagi bersiap sedia menghadapi PRU14.

    Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab dilaporkan berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga Mei ini.

    Ia turut merangkumi ketua polis, timbalannya dan pegawai peringkat pengarah tidak dibenarkan bercuti ke luar negara.

    Sementara itu, Zahid berkata, polis kini 99% bersedia untuk menghadapi PRU14 dan persiapan kali ini berbeza dengan PRU lalu.

    “Saya tidak ada petanda (bila PRU14 akan diadakan). Saya boleh (kata kami) komited 99.9% bersedia sebab kita telah lakukan latihan perbincangan meja bulat, latihan fizikal sepenuhnya dan kemuncak latihan ini pada 3 Mac di seluruh negara.

    “Kesiapsiagaan yang luar biasa (kali ini) berbanding sebelum ini kerana kita mahu pengundi di seluruh negara berada dalam keadaan selamat dan bekerjasama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bagi menentukan bukan hanya pengundi, tetapi lalu lintas dan semua struktur dapat digembleng untuk kelancaran PRU.”

    Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan PRU14 akan diadakan sebelum 14 Julai ini. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Cuti Polis Beku Sehingga PRU14 Selesai "