• Cukai GST Lebih Telus

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    Ketandusan modal politik. Begitulah terjadi kepada pembangkang di Malaysia apabila mempergunakan GST sebagai modal politik dalam usaha meraih sokongan rakyat.

    Pembangkang cuba meracuni minda rakyat dengan mendakwa GST cukai membebankan selain tidak memberi manfaat kepada rakyat.

    Dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal kunjung tiba, pembangkang cuba menjadikan segala benda sebagai isu walaupun perkara yang dibangkitkan berunsur fitnah.

    Bukan baru sekarang, sejak dari awal pelaksanaannya GST sudah dipolitikkan pembangkang dengan pelbagai tanggapan negatif.

    Yang peliknya, pembangkang dalam manifesto PRU14 tidak juga memansuhkan GST dan keadaan ini menunjukkan mereka setuju dengan cukai tersebut untuk mengukuhkan kewangan negara sekaligus membantu dalam aspek pembangunan dan manfaat rakyat.

    Rakyat perlu tahu, GST sebenarnya bukan menambah cukai sedia ada sebaliknya menggantikan sistem percukaian sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

    SST mengenakan cukai jualan sebanyak 10% dan perkhidmatan sebanyak 6%. Pengguna sebenarnya sudah menanggung cukai sebanyak 16% bagi setiap barangan yang dibeli sepanjang SST dikuatkuasakan.

    Malah SST tidak pernah dipemerkan dalam setiap resit pembelian dan difahamkan selama SST dikuatkuasakan, berlakunya cukai tersembunyi, cukai bertindih, tiada pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barangan yang dieksport, kelakuan sabotaj ekonomi seperti mengelak membayar cukai, menyembunyi sumber, aliran dan pendapatan kewangan syarikat, memonopoli barang dan sukatan harga serta pelbagai kegiatan lain yang tidak bermoral menurut perspektif ekonomi.

    Secara ringkasnya, SST tidak adil kepada negara dan rakyat keseluruhannya. Bukan sekadar membebankan rakyat secara tersembunyi, malah hasil kutipan kerajaan berada di bawah kemampuan ekonomi sebenar. Jauh lebih penting adalah usaha radikal untuk meningkatkan pendapatan negara dalam mengharungi suasana ekonomi yang agak mencabar.

    Apa pun tanggapan pembangkang terhadap GST, SST memang terbukti memiliki banyak kelemahan yang tidak akan membantu dari segi ekonomi negara.

    Sepatutnya pembangkang memberi pemahaman tentang kebaikan GST kepada rakyat secara tuntas.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Cukai GST Lebih Telus "