• Cucu ‘Pening’, Nenek Angkut ‘Khazanah’ Dari Sabah Datang Rumah

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Kebanyakan orang yang pulang ke kampung atau pergi bercuti pasti menyediakan pakaian yang secukupnya untuk kegunaan sepanjang tempoh tersebut.

    Namun, lain kisahnya dengan seorang warga emas, Zaharah Mat Jelas, 72, yang mencuit hati netizen dengan gelagatnya yang berkunjung ke rumah cucunya di Kuala Lumpur tanpa membawa sepasang pakaian pun.

    Ketika cucunya, Muhamad Shafiq Abdul Razak membuka bagasi besar yang dibawanya dan bertanya mengapa neneknya itu tidak membawa pakaian, dia dengan selamba menjawab: "Nanti kita pi (pergi) beli."

    Posting yang dimuat naik oleh Muhamad Shafiq menerusi Insta Story itu kemudiannya tular di media sosial apabila ia dikongsikan oleh beberapa pengendali laman Facebook yang lain.

    Muhamad Shafiq ketika ketika dihubungi mStar Online berkata, beg beroda yang dibawa dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur itu hanya dipenuhi dengan pelbagai makanan seperti ikan, ayam, buah-buahan, termasuklah ubi kayu.

    "Memang opah (nenek) saya biasa bawa makanan ke rumah saya semasa dia tinggal di Perak dulu, tapi tak sangka dia masih buat macam tu selepas berpindah ke Sabah.

    "Saya tanya juga macam mana dia boleh lepas mesin imbasan di lapangan terbang sana, dia kata pegawai kastam ada tanya pasal ikan tu tapi mereka lepaskan dia atas budi bicara kerana mungkin lihat dia orang tua," katanya, pada Isnin.

    Kata pengasas minyak wangi yang berusia 26 tahun itu, neneknya ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan tinggal bersamanya selama dua bulan sebelum pulang semula ke Kota Kinabalu.



    Menurutnya, tujuan asal dia memuat naik posting tersebut adalah untuk berkongsi dengan sepupu-sepupunya yang lain tentang keletah nenek mereka yang melucukan.

    "Saya tidak sangka ia akan tular dan reaksi opah selamba sahaja apabila tahu tentang perkara ini.

    "Dia tanya 'viral itu apa?', mujurlah netizen pun terhibur dengan gelagatnya. Saya tidak ambil pusing sangat dengan segelintir yang mengecam dan mendakwa saya sengaja reka cerita," ujar graduan lulusan Diploma Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara itu.

    Seorang netizen, Dian Aprimela Zulkanain berkata: "Mak-mak dari Sabah memang macam ini... mak aku kalau datang Kuala Lumpur, baju berapa helai je, beg-beg yang besar semua makanan... untuk anak cucu katanya.

    "Macam-macam makanan yang tiada di Semenanjung ni dia bawak. Sampai Kuala Lumpur baru beli baju," tulisnya pada ruang komen.

    Seorang lagi netizen yang turut mengalami pengalaman sama, Irah Hajerah Azman berkata, ibunya turut membawa pelbagai sayur-sayuran dari Kuching, Sarawak apabila berkunjung ke rumahnya.

    "Habis cili, serai, halia, lengkuas, ikan masin, ikan bilis, daun pandan, kalau boleh satu kebun dia nak bawa naik kapal terbang.

    "Aku cakap semua benda tu ada dalam peti sejuk, dia cakap sini punya rasa tak sama. Ikutlah, asalkan gembira," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Cucu ‘Pening’, Nenek Angkut ‘Khazanah’ Dari Sabah Datang Rumah "