• China Larang Memancing 3 Bulan Elak Ikan Pupus

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    BEIJING – Akibat aktiviti nelayan yang keterlaluan, pihak berkuasa China terpaksa melaksanakan larangan memancing di semua aliran sungai di negara itu bermula 1 Mac sehingga 30 Jun depan.

    Perintah larangan mandatori yang sebenarnya memang dilakukan pemerintah setiap tahun sepanjang musim bunga itu meliputi aliran utama anak sungai dan tasik air tawar di sepanjang sungai Yangtze, Huaihe, Minjiang dan Pearl.

    Hampir 10,000 orang penguat kuasa serta 1,000 buah kapal dari 21 kawasan dan wilayah akan dikerah bertugas untuk mencegah penangkapan ikan secara haram dan aktiviti nelayan berkaitan semasa tempoh moratorium itu.

    Bagaimanapun menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua, pihak kerajaan tempatan akan memberikan elaun sara hidup selama tiga bulan kepada para nelayan yang kehidupan mereka terjejas teruk akibat arahan larangan tersebut.

    Pengharaman penangkapan ikan itu bertujuan untuk melindungi sumber akuatik dan biodiversiti ekoran aktiviti nelayan amat berlebihan sehingga ancam daya pengeluaran marin semula jadi, kata jurucakap pihak berkuasa.

    “Tempoh larangan meliputi musim tangkapan bagi kebanyakan kehidupan akuatik sungai yang akan meningkatkan sumber akuatik dan membantu mengekalkan keseimbangan ekologi,” kata pegawai di Wilayah Jiangsu, Chen Shi.

    Morotarium tahunan ini bermula sejak 2002 yang ketika itu melibatkan Yangtze, sungai terpanjang di benua Asia dan ketiga di dunia dengan jarak keseluruhan 6,357 kilometer yang mengunjur hingga muara kota raya Shanghai.

    Ia disusuli Sungai Pearl sejauh 2,400 kilometer pada 2011 yang meliputi lembangan delta di wilayah Guangdong dengan banyak bandar raya besar iaitu Guangzhou, Shenzen selain wilayah autonomi khas Hong Kong dan Macao.

    Mulai tahun ini, perintah larangan penangkapan ikan itu turut membabitkan Sungai Kuning atau juga disebut sebagai Huang He dalam bahasa tempatan yang sejauh 5,464 kilometer dan terletak di bahagian utara China.

    Ia malah merangkumi empat laut dalam utama di perairan China yang bermula 1 Mei hingga 31 Ogos ini melibatkan 200,000 buah bot dan lebih sejuta nelayan, lapor Kementerian Pertanian di sini.- Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " China Larang Memancing 3 Bulan Elak Ikan Pupus "