• Cari Mata Di Argentina Pula

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    Doa Abdullah Harun untuk melihat Hafizh Syahrin mengutip mata pada perlumbaan MotoGP di Grand Prix (GP) Qatar, semalam termakbul apabila anaknya itu menamatkan saingan di kedudukan ke-14.

    Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu juga melepasi ‘ujian keduanya’ pada musim pertama kelas utama itu di Litar Antarabangsa Losail apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan merakam masa 42 minit 54.953 saat.

    Sebelum perlumbaan, pasukannya meletakkan sasaran menamatkan saingan manakala kutipan mata disifatkan sebagai bonus.

    Keputusan diraih Hafizh secara tidak langsung memberinya dua mata berharga pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 itu.

    "Alhamdulillah syukur pada perlumbaan itu saya dapat meraih mata, tidak sangka dapat kekal dalam kelompok mata,” kata Hafizh.

    “Ini satu pengalaman bagi saya untuk perlumbaan akan datang.

    “Saya rasa apa saya belajar berkenaan elektronik kali ini amat berguna untuk perlumbaan akan datang.

    “Saya akan belajar lagi dan kaji balik kelemahan saya. Terima kasih kepada peminat yang doakan saya.

    “Dua mata ini untuk anda semua dan walaupun tak sasarkan mata, dengan semangat dan fokus saya bersyukur dapat raih mata untuk pasukan dan Malaysia.”

    Selain itu, Hafizh muncul selaku muka baharu kedua terpantas di belakang pelumba Itali, Franco Morbidelli yang beraksi bersama pasukan EG 0,0 Marc VDS.

    Hafizh akan beraksi pada perlumbaan pusingan kedua di Litar Termas di Rio Hondo, Argentina pada 6, 7 dan 8 April.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Cari Mata Di Argentina Pula "