• Budak perempuan parah didera kenalan ibu

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+
    KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun parah dengan mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini, semalam.

    Mangsa dihantar ke Hospital Ampang oleh dua lelaki tempatan kira-kira jam 6.30 petang, semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Ketika dirawat di Zon Merah hospital terbabit, pemeriksaan turut mendapati ada kesan lebam pada dahi, dada dan betis kanan kanak-kanak itu dipercayai akibat didera.

    Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit mengaku sebagai kenalan ibu kanak-kanak itu dan mendakwa mangsa mengalami sawan ketika berada di dalam tandas dan terjatuh sendiri ketika hendak membuang air besar.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, ibu kanak-kanak itu yang juga warga Indonesia menyerahkan anaknya kepada suspek yang berusia 56 tahun untuk dijaga sementara dia bekerja di sebagai pembantu rumah di Kampung Cheras Baru.

    "Ketika mangsa berada dalam jagaan suspek, ibunya ada membuat panggilan video pada 18 Februari lalu dan mendapati anaknya tidak ceria serta terlihat kesan lebam pada tubuhnya.

    "Dan semalam, wanita berusia lingkungan 40an itu dihubungi oleh suspek memberitahu anaknya jatuh sendiri dalam bilik air sewaktu hendak membuang air besar," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

    Katanya, selepas memberitahu kanak-kanak itu berada di Hospital Ampang, suspek dipercayai menutup telefon bimbitnya kerana ibu mangsa cuba menghubunginya semula tetapi gagal.

    "Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek kini sedang dilakukan dan buat masa ini, mangsa belum sedarkan diri dan masih menerima rawatan.

    "Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan ibu mangsa meninggalkan kanak-kanak itu dalam jagaan suspek," kata beliau.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan penderaan kanak-kanak. - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Budak perempuan parah didera kenalan ibu "