• Bonus Khas PNB Mulai Hari Ini

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengkreditkan Bonus Khas sebanyak satu sen seunit bagi 10,000 unit pertama kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB), bermula hari ini.

    Ia sempena ulang tahun ke-40 PNB pada 17 Mac ini.

    Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bonus Khas Ulang Tahun ini adalah penghargaan PNB kepada pemegang unit yang setia memberi sokongan selama ini.

    "Hari ini, syarikat pengurusan unit amanah PNB iaitu Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) adalah syarikat unit amanah terbesar di Malaysia dengan 228 bilion unit dalam edaran yang mana 67.3 peratus adalah unit-unit ASB," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, bonus khas berjumlah RM255.12 juta serta pengagihan pendapatan dan bonus sebelum ini sebanyak RM10.48 bilion, akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pemegang unit yang melanggan lebih 145 bilion unit ASB.

    "Lebih 7.5 juta pemegang unit dengan pegangan sehingga 10,000 unit akan menerima pulangan efektif sebanyak 8.25 sen seunit manakala, tambahan 1.7 juta pemegang unit akan menerima sekurang-kurangnya 7.25 sen per unit," katanya.

    Pengiraan pengagihan Bonus Khas adalah tertakluk kepada purata baki bulanan minimum selama 12 bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, bagi 10,000 unit pertama saja.

    Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun masing-masing melalui portal baharu ASNB myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara mulai semalam.

    Pemberian bonus khas ini adalah rentetan daripada pengumuman yang dibuat pada Disember 2017.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bonus Khas PNB Mulai Hari Ini "