• Bolt Pecut Kejar Bola Pula

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+

    BERLIN: Kelibat jaguh pecut dunia Usain Bolt dalam jersi kuning Borussia Dortmund akhirnya menjadi realiti apabila pemegang rekod dunia acara pecut 100 meter itu menyertai sesi ujian bersama kelab Jerman itu semalam.

    Dortmund dan Bolt kedua-duanya ditaja oleh jenama pakaian sukan Puma yang menjadikan impian jaguh pecut itu untuk meneruskan minatnya dalam bola sepak menjadi kenyataan selepas bersara daripada arena olahraga.

    Bolt dilihat ceria dan komited sepanjang sesi ujian berkenaan dan sempat menunjukkan kemahirannya bersama rakan sepasukan, antaranya Andre Schurrle yang tidak dipanggil untuk tugasan antarabangsa.

    Di luar padang, Bolt dibawa melawat kemudahan kelab yang mana dia ditemani Julian Wiegl, Marco Reus dan Omer Toprak.

    Bekas pelari pecut berusia 31 tahun dari Jamaica itu tampak begitu kagum dengan stadium Signal Idura Park berkapasiti 81,360 penonton itu - sesuatu yang jarang menarik perhatiannya selama bergelar atlet.

    Bolt akan menerajui skuad Pilihan Dunia menentang England yang diketuai penyanyi pop Robbie William dalam perlawanan amal Soccer Aid di Old Trafford Jun ini.

    Dia akan berlatih sekali lagi bersama Dortmund hari ini dan sesi berkenaan akan dibuka kepada umum. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Bolt Pecut Kejar Bola Pula "