• “Bolt Berbakat Tapi Belum Cukup Bagus” – Stoger

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    IMPIAN pelari pecut yang juga merupakan ‘manusia terpantas dunia’, Usain Bolt untuk menceburi sukan bola sepak bukanlah menjadi satu rahsia.

    Malah, sebelum ini Bolt telah berkali-kali meluahkan hasratnya untuk bermain bola sepak secara profesional selepas bersara sepenuhnya dari bidang olahraga tahun lalu.

    Jumaat lalu, Bolt berpeluang menjalani latihan percubaan bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund yang menyaksikan dia berkongsi padang bersama beberapa pemain ternama dunia seperti Mario Gotze, Nuri Sahin dan Marco Reus.

    Kehadiran jaguh pecut itu menjalani latihan terbuka bersama skuad Die Schwarzgelben itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook kelab itu dan disaksikan hampir 1.2 juta penonton.

    Bolt, yang turut memakai baju latihan belang hitam dan kuning yang sinonim dengan Borussia Dortmund itu dilihat mempamerkan aksi memuaskan bersama pemain-pemain kelab yang berpangkalan di Dortmund, Jerman selama dua hari.

    Dalam latihan terbuka itu, Bolt berjaya menjaringkan satu gol tandukan cantik hasil umpanan wira Jerman di Piala Dunia 2014, Gotze selain turut mempamerkan skil menarik bagi melepasi pertahanan yang membuatkan penonton yang menyaksikan latihan tersebut bersorak kagum.

    Latihan itu dikendalikan ketua jurulatih kelab itu, Peter Stoger yang turut memberikan pandangannya selepas menyaksikan aksi Bolt buat pertama kali di padang bola sepak.

    Jelas Stoger, Bolt mempunyai kebolehan yang baik sebagai pemain bola sepak tetapi masih perlu memperbaiki beberapa aspek dalam permainannya jika serius mahu menceburi sukan itu secara profesional.

    “Saya fikir dia (Usain Bolt) berbakat namun apabila dia mahu bermain di tahap yang lebih tinggi, jelas sekali masih ada lagi usaha yang perlu dilakukan. Ini semua tentang prosedur dan pergerakan tetapi yang paling penting ialah dia menikmatinya.

    “Tubuh yang diperlukannya untuk sukan olahraga adalah sama sekali berbeza daripada apa yang diperlukan dalam bola sepak, tetapi ia benar-benar menyeronokkan buat kami.

    “Ia amat menggembirakan kami dapat bertemu seseorang sepertinya dan bekerja dengannya,” katanya.

    Dalam pada itu, Bolt ketika ditemui pihak media berharap bahawa dia akan dipanggil oleh kelab iu lagi dan mendapat keputusan positif dari kelab berkenaan selepas latihan percubaannya ini.

    Jelas Bolt, masih ada beberapa aspek yang perlu dibaikinya supaya dapat bermain secara profesional dalam sukan popular itu.

    “Saya rasa keseluruhannya saya memberikan diri saya sendiri tujuh markah daripada sepuluh. Saya rasa saya telah memberikan aksi yang baik.

    “Saya hanya memerlukan latihan yang lebih. Untuk bekerja lebih keras dan mendapatkan kecergasan.

    “Saya benar-benar mahu bermain secara profesional jadi saya perlu bermain di peringkat tinggi seperti ini,” jelas Bolt.

    Latihan terbuka yang dijalani Bolt bersama kelab Jerman itu merupakan program publisiti buat Bolt dan juga Borussia Dortmund yang kedua-duanya ditaja Puma.

    Pemegang rekod dunia acara pecut 100 meter itu sebelum ini telah menjalani latihan bersama kelab Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns sejak Januari lalu dan akan mengetuai pasukan World XI di perlawanan persahabatan bola sepak amal, Soccer Aid, Jun depan. -MYNEWSHUB.CC/EZ

    Subjects:

  • No Comment to " “Bolt Berbakat Tapi Belum Cukup Bagus” – Stoger "