• 'Boleh Salah Masuk Kereta Pulak'

    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+

    Terdesak untuk melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, seorang pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand nekad melompat masuk ke dalam sebuah Perodua Kembara, tanpa menyedari ia adalah kenderaan milik anggota jabatan itu.

    Dalam serbuan awal pagi di kafe di Sungai Petani itu, wanita berusia 20-an itu melarikan diri sebaik penguat kuasa imigresen menyerbu premis yang terletak di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu.

    Ketika berlari tidak jauh dari premis berkenaan, wanita itu melompat masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan yang mengekorinya dari belakang dengan harapan untuk menumpang bagi meloloskan diri.

    Bagaimanapun, sangkaannya nyata meleset apabila wanita itu sebenarnya melompat masuk ke dalam kenderaan milik pasukan serbuan yang tidak diletakkan logo imigresen.

    Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, wanita itu adalah antara 18 GRO diberkas anggota penguat kuasa dalam serbuan di dua premis pusat hiburan berasingan dalam serbuan Op Gegar di Sungai Petani dan Kulim, bermula jam 12 tengah malam.

    Beliau berkata, 18 GRO membabitkan warga Thailand dan Laos berusia antara 23 dan 40 tahun itu ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen iaitu melanggar syarat pas lawatan sosial untuk bekerja di premis hiburan.

    “Di lokasi pertama di Jalan Pondok Labu, Kulim, lapan wanita warga Thailand dicekup ketika leka berhibur sambil melayan pelanggan masing-masing tanpa menyedari kehadiran penguat kuasa imigresen.

    “Kemudian di lokasi kedua di Sungai Petani, kami menahan lapan wanita warga Thailand dan dua wanita warga Laos apabila tiga daripada mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang sehingga mencederakan diri sendiri akibat terjatuh,” katanya.

    Beliau berkata, semua wanita itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Boleh Salah Masuk Kereta Pulak' "