• Bocor data: SKMM, Nuemera mohon batal saman Fahmi

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Nuemera (M) Sdn Bhd memfailkan permohonan membatalkan saman Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadinya.

    Peguam Louis Liaw, yang mewakili Fahmi memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin hari ini yang kemudiannya menetapkan 26 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya.

    Liaw berkata SKMM dan Nuemera memfailkan permohonan itu secara berasingan semalam (21 Mac) dan kedua-dua defendan itu juga memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing pada hari yang sama.

    Peguam itu berkata SKMM memohon membatalkan saman atas alasan suruhanjaya berkenaan tidak boleh disaman kerana ia mempunyai imuniti di bawah Seksyen 272 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Katanya, Nuemera pula memberikan alasan Fahmi tidak mempunyai locus standi untuk menyaman syarikat itu kerana syarikat telekomunikasi yang sepatutnya memfailkan tindakan saman dan bukan anak guamnya.

    Fahmi yang juga dikenali sebagai Fahmi Fadzil selaku plaintif memfailkan saman itu pada 6 Februari lepas dengan menamakan SKMM dan Nuemera iaitu syarikat yang melaksanakan skim Sekatan Perkhidmatan Celular Awam (PCBS) selaku defendan.

    Dalam pernyataan tuntutan, Fahmi, yang turut hadir ke mahkamah hari ini, mendakwa beliau mendaftar 3 talian telefon miliknya dengan 2 syarikat telekomunikasi dan memberikan beberapa maklumat peribadinya termasuk nama, nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal serta maklumat peribadi itu diberikan kepada syarikat telekomunikasi yang mengendalikan talian plaintif.

    Plaintif mendakwa pada 2014, Nuemera dilantik oleh SKMM untuk mengendalikan PCBS, antara lain fungsinya adalah untuk menyahaktifkan sebuah peranti telefon bimbit apabila ia dilaporkan dicuri dan bagi tujuan itu, semua syarikat telekomunikasi diarahkan oleh SKMM untuk memberikan maklumat peribadi pengguna yang mendaftarkan talian telefon kepada SKMM atau Nuemera.

    Dakwanya sekitar 2014, maklumat peribadi yang disimpan dalam kawalan SKMM dan Nuemera terbocor daripada simpanan defendan termasuk maklumat peribadi plaintif dan kebocoran maklumat itu diketahui pada 2017 selepas beberapa laman sesawang dan portal berita mendedahkan 46.2 juta maklumat peribadi pengguna telefon mudah alih dijual dalam talian secara haram.

    Beliau juga mendakwa kedua-dua defendan cuai dalam memastikan maklumat peribadi itu disimpan dengan selamat dan gagal memaklumkan kepada orang ramai termasuk plaintif berhubung kebocoran maklumat tersebut.

    Plaintif turut mendakwa akibat kecuaian yang dilakukan defendan, maklumat peribadinya terdedah dan boleh diakses oleh orang ramai yang boleh menyebabkan maklumat peribadinya dijual tanpa persetujuannya selain boleh digunakan untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bocor data: SKMM, Nuemera mohon batal saman Fahmi "