• Berang Layanan Kurang Memuaskan

    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    Tidak puas hati dengan layanan kurang memuaskan oleh pelayan restoran dipercayai menjadi punca pergaduhan di Taman Sentosa, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata hasil siasatan mendapati pergaduhan timbul ketika pelayan restoran itu menyajikan makanan di atas meja kepada pelanggannya.

    “Timbul salah faham ketika itu apabila pelayan restoran dikatakan meletakkan makanan secara kasar.

    “Kejadian juga berlaku ketika pelanggan restoran dalam keadaan mabuk,” katanya di Johor Bahru, bagi mengulas pergaduhan di restoran itu yang kemudian tular di media sosial.

    Beliau berkata, berikutan kejadian 4.42 pagi itu, polis menahan lelaki berusia 30 tahun kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

    “Suspek ditahan reman tiga hari sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    “Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya sambil menambah, beberapa individu lain sedang dikesan bagi membantu siasatan.

    Video yang tular itu menunjukkan tindakan lelaki membaling peralatan ketika pergaduhan dalam restoran berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Berang Layanan Kurang Memuaskan "