• Bendung berita palsu elak merana kemudian hari – Hishammuddin

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh bertolak ansur atau terikat dengan pandangan mana-mana pihak dalam membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau 10 tahun penjara.

    Ini kerana, menurut Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, penyebaran berita palsu amat berkait rapat dengan soal keselamatan negara dan sering didorong oleh agenda peribadi serta pemikiran cetek segelintir pihak justeru ia perlu dibendung menerusi undang-undang.

    “Kita tidak boleh terikat kerana tanggapan pihak tertentu, ini melibatkan soal keselamatan negara. Dengan menyebarkan pelbagai berita yang tidak benar kerana agenda peribadi serta pemikiran cetek segelintir pihak, yang merana adalah kita sendiri,” kata menteri pertahanan itu.

    Beliau berkata demikian selepas majlis Ramah Mesra bersama Warga 4 Divisyen sempena program ‘Jelajah Perkasa Perwira’ di Kem Wardieburn, Setapak hari ini.

    Mengenai hukuman RM500,000 dan penjara sehingga 10 tahun yang dikatakan melampau, Hishammuddin yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut berkata, mereka yang didakwa atas kesalahan tersebut boleh berhujah berhubung hukuman itu di mahkamah.

    Jelasnya, kerajaan telah melakukan kajian dan tidak boleh bertolak ansur atau ‘terikat’ dengan pendapat atau tanggapan sesetengah pihak terhadap undang-undang itu.

    “Jika ada pihak yang merasakan hukuman RM500,000 dan penjara sehingga 10 itu melampau dan keterlaluan, mereka boleh berhujah apatah lagi apabila disabitkan di bawah undang-undang ini.

    Ahli Parlimen Semberong itu menambah, beliau sendiri telah melalui pelbagai pengalaman berkaitan berita palsu yang disiarkan pelbagai pihak terutamanya ketika pesawat MH370 hilang sejak tahun 2014.

    Katanya, pelbagai berita tidak benar berhubung kehilangan itu disebarkan oleh individu serta kumpulan tidak bertanggungjawab seluruh dunia dengan menggunakan media sosial.

    “Seandainya kita tidak selesaikan penyebaran berita tidak benar ini, ianya mungkin akan menyebabkan keselamatan negara tergugat seperti yang berlaku di sesetengah negara yang kini sedang berperang kerana penyebaran maklumat palsu.

    “Dengan penyebaran berita palsu, ianya juga menyebabkan sensitiviti kaum serta keharmonian terjejas. Adalah lebih baik kita bertegas dalam perkara ini demi kebaikan semua.

    “Berita palsu sebenarnya membawa ancaman keselamatan negara kerana telah berlaku banyak contoh yang penyebaran fitnah membawa kepada pergolakan selain rusuhan yang mampu memprorak perandakan negara,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar di Parlimen.

    Ia dicadangkan bagi melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati. – theRakyat

    Subjects:

  • No Comment to " Bendung berita palsu elak merana kemudian hari – Hishammuddin "