• 'Beli' Tiket Ke Tali Gantung

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    BUTTERWORTH: Tindakan seorang buruh menyembunyikan satu guni berisi lima ketulan ganja seberat 4.415 kilogram (kg) di dalam keretanya membawa padah, apabila ditahan polis di Taman Pandan, Butterworth sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 12 tengah malam, suspek lelaki berusia 56 tahun ditahan pasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU).

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Norzainy Mohd Noor berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Pandan, Butterworth.

    Beliau berkata, ketika kejadian, polis mendapati seorang lelaki berada di rumah berkenaan.

    “Polis menahan lelaki itu dan melakukan pemeriksaan di dalam kereta Toyota Camry yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

    “Kami menemui satu guni mengandungi ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 4.415 kg yang disembunyikan di dalam kenderaan itu,” katanya di sini, semalam.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan dadah itu dirampas, sebelum dibawa ke IPDSPU untuk siasatan lanjut.

    Norzainy berkata, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dianggarkan bernilai RM6,500.

    “Kami percaya dadah itu untuk dijual di sekitar kawasan ini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, ujian saringan air kencing suspek mendapati lelaki itu positif dadah.

    Bagaimanapun, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

    “Lelaki itu kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Mac ini untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Beli' Tiket Ke Tali Gantung "