• Beku RM3.6j, Sita Empat Kereta Mewah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membekukan empat akaun berjumlah RM3.6 juta susulan penahanan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dipercayai menerima wang RM19 juta bagi menutup kes siasatan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, semalam.

    Menurut sumber, SPRM turut menyita empat kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Range Rover dan Hyundai Starex yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta serta tiga televisyen bernilai RM167,900.

    Difahamkan, turut disita ialah sebuah rumah bernilai kira-kira RM2.5 juta yang terletak di Petaling Jaya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

    Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap ahli perniagaan itu berusia 37 tahun bermula hari ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

    Suspek ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 3.48 petang semalam.

    Difahamkan, suspek menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

    Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Beku RM3.6j, Sita Empat Kereta Mewah "