• Bayi Maut Tercampak Dari Kereta Ibu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    JELEBU: Bayi perempuan sembilan bulan maut tercampak dari kereta dipandu ibunya yang terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 19.3 Jalan Seremban-Simpang Pertang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berlaku jam 7.30 malam.

    Katanya, ketika kejadian pemandu Toyota Vios, Lim Hui Chee, 25, dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kuala Klawang.

    “Setiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Honda Civic dari arah Kuala Klawang.

    “Kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum dilanggar Proton Saga dari Kuala Klawang.

    “Akibat kemalangan itu bayi berkenaan, Wong Qan Ton yang dipangku bapanya Wong Ting Sing, 26, tercampak keluar dari kereta ke tengah jalan,” katanya.

    Kamarul Rizal berkata, pemandu Proton Saga Luqman Al Hakim Fouzar, 23, dari Simpang Durian cedera di leher manakala pemandu dan penumpang Honda Civic dari Pelabuhan Klang tidak cedera.

    Katanya, bayi dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

    Bagaimanapun bayi malang itu disahkan meninggal dunia jam 7.50 pagi semalam berikutan parah di kepala.

    “Polis menjalankan siasatan lanjut kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi Maut Tercampak Dari Kereta Ibu "