• Bas Terbabas: Detik Cemas 28 Pemain, Jurulatih Miri FC

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    Pemain pasukan bola sepak Miri FC menghadapi detik cemas apabila bas dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Kilometer (KM) 34 Jalan Keningau–Papar, Kimanis, pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi itu, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Keningau ke Kota Kinabalu selepas mengadakan perlawanan bola sepak bersama Keningau FC di Kompleks Sukan Keningau, semalam.

    Bas persiaran yang mempunyai kapasiti muatan 43 penumpang itu, membawa seramai 28 penumpang terdiri 24 pemain, tiga jurulatih dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran.

    Katanya, pasukan itu bergerak ke Kota Kinabalu dijadualkan pulang ke Miri pada jam 4 petang hari ini.

    Mudi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.55 pagi melalui talian kecemasan 999 dan tiba di lokasi kemalangan beberapa minit kemudian.

    "Semua penumpang tidak mengalami kecederaan serius ekoran kemalangan ini.

    "Bagaimanapun, satu-satunya mangsa wanita (jurulatih) pengsan tetapi sudah diberikan rawatan oleh pasukan perubatan Hospital Papar.

    "Semua mangsa lain pula dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mudi berkata seramai 26 anggota daripada Balai Bomba Keningau dan Balai Bomba Papar diarahkan ke tempat kemalangan bagi operasi menyelamat.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bas Terbabas: Detik Cemas 28 Pemain, Jurulatih Miri FC "