• Bank Negara pantau sindiket 'hawala'

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Lebih 40 syarikat di negara ini dipantau Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dikesan terbabit dengan operasi 'hawala' atau perkhidmatan kiriman wang ke luar negara secara haram.

    Selain disiasat, ada antara syarikat berkenaan majoritinya yang berurusan dengan operasi kiriman wang ke luar negara, ada yang sudah didakwa atas kesalahan berkaitan hawala.

    Berdasarkan maklumat, sejumlah besar syarikat yang dipantau itu mempunyai lesen sah untuk menjalankan urus niaga pengiriman wang, namun tetap menggunakan saluran hawala untuk tujuan pemutihan wang.

    Malah, ada antara syarikat terbabit yang menyediakan khidmat hawala kepada pekerja asing khususnya yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Pengarah Jabatan Risikan dan Penguatkuasaan BNM, Abd Rahman Abu Bakar, pemantauan pihaknya ke atas aktiviti pemindahan wang yang disyaki berunsurkan hawala itu berikutan ia dibimbangi dipergunakan bagi tujuan salah, termasuk memudahkan aktiviti menyalur dana keganasan.

    "Kita sedar hawala ini agak normal di Malaysia dengan jumlah transaksi menerusi perkhidmatan itu juga bergantung (ada kiriman sedikit dan ada juga dalam jumlah yang banyak)

    Taktik ejen transaksi provokasi

    "Paling mudah untuk mengesan mereka adalah dengan menggunakan taktik ejen transaksi provokasi, di mana kami sendiri hantar wang menggunakan perkhidmatan mereka ke luar negara dan apabila wang terbabit sampai, maka ada bukti dan kami akan menahan mereka," katanya kepada BH.

    Hawala adalah sistem penghantaran wang melalui kaedah 'bawah tanah' iaitu tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

    Status transaksi pemindahan wang yang tidak meninggalkan sebarang rekod atau dokumentasi, dibimbangi digunakan untuk tujuan jenayah seperti penghantaran wang haram, pembiayaan keganasan, pembayaran kegiatan jenayah dan aktiviti pemutihan wang haram.

    Abd Rahman berkata, sebahagian besar penyedia khidmat kiriman wang secara haram itu cenderung menyediakan perkhidmatan untuk transaksi normal atau bukan dalam jumlah yang tinggi, berbanding penghantaran duit dalam jumlah besar ke luar negara.

    FIU dedah kegiatan agak serius di Asia

    Unit Perisikan Kewangan (FIU) Indonesia mendedahkan wujud sindiket hawala iaitu penghantaran wang secara haram antara negara, yang dipercayai turut didalangi rakyatnya dengan rakan niaga di negara lain termasuk Malaysia.

    Aktiviti yang kini beroperasi di seluruh dunia itu memudahkan pelbagai urusan transaksi kewangan bawah tanah termasuk penghantaran wang haram, pembiayaan keganasan, pembayaran kegiatan jenayah, penghantaran wang bantuan kemanusiaan dan pemutihan wang.

    Difahamkan transaksi hawala membabitkan nilai wang yang sangat besar dan sebahagian transaksi terbabit dikirim ke China dan Hong Kong.

    Sumber Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) Indonesia, berkata sumber maklumat FIU dan siasatan ke atas individu yang ditangkap berkaitan perkhidmatan hawala oleh polis negara itu, mendapati kegiatan berkenaan di peringkat Asia kini agak serius.

    Katanya, kegiatan itu biasanya didalangi sindiket jenayah berkaitan dadah, kongsi gelap dan pelacuran.

    "Sistem hawala ini digunakan pelanggan yang ingin menghantar wang ke sesebuah negara tapi tidak mahu melalui saluran institusi kewangan supaya transaksi kewangan tidak dikesan pihak berkuasa di negara terbabit dan negara destinasi kiriman.


    Ada sindiket hawala

    "FIU Indonesia dan FIU Malaysia tidak akan nampak wang ini keluar atau masuk kerana wang terbabit tidak pernah dipindahkan ke negara lain. Kita tahu memang ada beberapa sindiket hawala di Indonesia walaupun tangkapan masih tidak banyak," katanya kepada BH.

    Di Indonesia, hawala antaranya digunakan sindiket jenayah seperti pengedaran dan penghantaran dadah sebagai bayaran melunaskan urus niaga pembelian atau penjualan dadah rentas sempadan.

    Menerusinya, pengirim akan menyerahkan sejumlah wang kepada sindiket hawala yang kemudian akan menghubungi terus rakan sindiket di negara penerima untuk menyerahkan bayaran kepada individu yang diminta pengirim.

    Sumber berkenaan berkata, dalam transaksi berkaitan dadah, hubungan sindiket di antara kedua-dua negara adalah berlandaskan kepada kewajipan melunaskan pembayaran untuk dadah yang dihantar dari negara tempat pembekal beroperasi kepada penerima di negara lain.

    "Jadi, wang untuk pembayaran terbabit tidak pernah keluar dari negara masing-masing, hanya berpindah tangan dalam negara terbabit. Aktiviti yang berlaku adalah penyeludupan dadah. Itu pun tidak dikesan kerana ia tidak dilaporkan," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Bank Negara pantau sindiket 'hawala' "