• Bangla Dalang Sindiket Pasport, Visa Palsu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu rangkaian sindiket pemalsuan dokumen dan penyeludupan manusia, dipercayai terbesar tahun ini, dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang, hari ini.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata dalam operasi hasil risikan sejak dua bulan lalu itu, pihaknya menahan 26 warga asing, termasuk 18 warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan berusia antara 25 tahun dan 50 tahun, yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

    Beliau berkata, pihaknya turut merampas 136 pasport tulen dan palsu serta 87 pelekat visa palsu pelbagai negara, sejumlah cap imigresen palsu, peralatan komputer, selain menyita dua kenderaan.

    "Dalang sindiket iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 50 tahun ditahan di rumahnya di Sri Petaling, manakala suspek lain, termasuk pekerja dan 'runner' sindiket ditahan di sekitar Lembah Klang.

    "Sindiket ini dipercayai aktif sekurang- kurangnya dua tahun lalu dan mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil kegiatan ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Mustafar berkata, dalang sindiket itu dipercayai memasuki Malaysia sejak 2005 menggunakan pasport atas pelbagai nama samaran dan kononnya menjalankan perniagaan, antaranya pengurusan perniagaan, perkhidmatan rundingan, restoran dan kontraktor.

    "Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini mengenakan bayaran antara AS$5,000 dan AS$10,000 (kira-kira RM20,000 ke RM40,000) untuk pasport Eropah.

    "Mereka juga mengenakan bayaran RM1,000 hingga RM3,000 untuk pelekat visa, dipercayai untuk warga asing melanjutkan tempoh menetap mereka di negara ini.

    "Sindiket ini juga akan menyediakan calon dan menguruskan kemasukan pekerja asing ke Malaysia dengan kadar RM5,000 hingga RM7,000 bagi setiap pekerja," katanya.

    Mustafar berkata, semua warga asing berkenaan kini ditahan di depot tahanan Imigresen, manakala warga tempatan direman dan pihaknya akan terus menjejaki individu lain yang terbabit dalam rangkaian sindiket berkenaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bangla Dalang Sindiket Pasport, Visa Palsu "