• Bangkai pesawat MH370 ditemui?

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+


    CANBERRA - AUSTRALIA. Pesawat MH370 dalam keadaan berlubang ditembusi peluru didakwa telah ditemui menerusi imej yang diperoleh daripada aplikasi Google Earth.

    Gambar tersebut menunjukkan pesawat Mas terbabit yang dilaporkan hilang bersama kesemua 239 penumpang berada di bawah permukaan air di utara Mauritius.

    Pakar penyiasat nahas pesawat dari Australia, Peter McMahon, 64, mendakwa beliau telah menghabiskan masa selama beberapa tahun mengkaji imej Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan Google Maps sejak pesawat itu dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

    Menurutnya, beliau percaya pesawat itu berada pada jarak 16 kilometer di selatan pulau kecil, Round Island yang mana ia tidak termasuk dalam kawasan lingkungan carian sebelum ini.

    Bahagian hadapan dan badan utama pesawat tersebut yang didakwa ditemui di perairan Mauritius.
    Difahamkan, beliau juga telah mengemukakan laporan penemuan itu kepada Biro Pengangkutan dan Keselamatan Australia.

    Pihak berkuasa terbabit bagaimanapun memberitahu mereka dimaklumkan oleh pegawai Amerika Syarikat agar kekal berada di kawasan lingkungan carian ditetapkan di Lautan Hindi.

    "Adakah ini adalah bahagian kabin hadapan pesawat MH370 di perairan selatan Pulau Rodrigues? Seramai empat wakil dari Washington telah dihantar ke Canberra untuk mengawasi penemuan tersebut.

    "Mereka mahu memastikan segala maklumat yang diterima tidak didedahkan kepada umum dan kerajaan. Tetapi kenapa?" ujar jurutera mekanikal itu kepada Daily Star Online.

    Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak mahu pesawat dipenuhi kesan berlubang seperti ditembusi peluru itu akan membawa kepada siasatan baharu.

    Berdasarkan laporan itu, selain bahagian utama pesawat tersebut, McMahon juga telah menemui bahagian hadapan kabin di perairan selatan Pulau Rodrigues yang juga terletak berhampiran Mauritius.

    Awal tahun lalu, kerajaan Malaysia telah meluluskan syarikat AS, Ocean Infinity menghantar kapal carian untuk menjejaki MH370 di kawasan lingkungan lebih 9,000 meter persegi di perairan Australia.

    Sehingga kini, lokasi tepat tidak pernah diketahui.

    Pada 2015, beberapa bangkai pesawat didakwa telah ditemui pasukan sukarelawan ketika membersihkan pantai di St Andre, Reunion.

    Dua tahun kemudian, imej satelit dikeluarkan Australia menunjukkan 12 objek terapung di kawasan dipercayai berhampiran lokasi nahas. - The Sun/Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " Bangkai pesawat MH370 ditemui? "