• Bagi Tambah Majoriti, PBB Pantai Damai Laung Amaran Awal

    Published: Sunday, 4 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Dalam memastikan majoriti undi meningkat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai mengambil langkah awal dengan menganjurkan Bengkel Persiapan PRU14 Bagi Jentera BN-PBB N.4 Pantai Damai di sini, hari ini.

    Bengkel dua hari itu disertai 63 peserta yang terdiri daripada exco PBB Cawangan N.4 Pantai Damai termasuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang merupakan ketua cawangan.

    Objektif penganjuran bengkel tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat melibatkan jentera pilihan raya.

    Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, bengkel seperti itu penting untuk memastikan gerak kerja teratur bagi memudahkan sistem berkempen menjelang PRU14 nanti.

    Malah menurutnya, kaedah organisasi peringkat cawangan dan negeri juga perlu selari bagi memudahkan perjalanan kempen.

    "Dalam bengkel ini, kita diberi maklumat yang amat berguna kerana ia menjadi bekalan menghadapi cabaran pada masa akan datang.

    "Peserta bengkel juga diberi motivasi sebagai pemimpin di peringkat atasan dalam cawangan N.4 Pantai Damai," katanya.


    Menteri Muda itu berharap ilmu dan maklumat yang diperolehi peserta dalam bengkel tersebut dapat dikongsikan kepada ahli jawatankuasa peringkat ranting.

    Dr Abdul Rahman turut mengingatkan ahli PBB Cawangan N.4 Pantai Damai supaya lebih bersedia menghadapi cabaran dalam PRU14 termasuk dari dalam dan luar parti.

    "Cabaran dalaman adalah untuk mengekalkan majoriti yang diperolehi dalam PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan ia dapat diatasi dengan komitmen kerja berpasukan.

    "Cabaran luar pula dalam pelbagai bentuk termasuk isu yang dibangkitkan dalam media sosial," ujarnya.

    Tambahnya, faktor utama DUN N.4 Pantai Damai mencapai kejayaan yang cemerlang dalam beberapa pilihan raya yang lepas adalah kerana pasukan yang dibentuk mantap dan berganding bahu selain saling membantu antara satu sama lain.

    "Kita berharap agar bengkel ini memberi manfaat sepenuhnya kepada Jentera PRU BN-PBB DUN N.4 Pantai Damai dalam menghadapi PRU14 dengan strategi yang mantap," jelasnya.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Bagi Tambah Majoriti, PBB Pantai Damai Laung Amaran Awal "