• Awang Tengah Mahu Batang Sadong Kekal Kubu Kuat BN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    SADONG JAYA: Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu kerusi Parlimen Batang Sadong dikekalkan sebagai kubu kuat BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menegaskan jentera Barisan Nasional (BN) terutama PBB terus memberi sokongan padu kepada BN khasnya kepada calon bertanding pada PRU14 nanti agar dapat terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan ini.

    “Ini penting untuk kita memastikan Parlimen Batang Sadong kekal sebagai kubu kuat BN pada PRU14 nanti,” tegasnya.

    Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua turut mengingatkan rakyat tidak mudah percaya tuduhan liar individu yang tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya ini.

    Beliau memberitahu, ada pihak yang mengatakan kerajaan yang ditadbir urus BN tidak mementingkan keperluan rakyat.

    “Ini tidak benar kerana kita dipihak kerajaan sentiasa memikirkan cara untuk membantu dan banyak perubahan telah kita bawa termasuk untuk penduduk di luar bandar.

    “Di kawasan Batang Sadong ini sahaja, banyak kampung yang dahulunya hanya menggunakan pengangkutan sungai kini sudah dihubungkan dengan jalan raya,” katanya.

    Menurut Awang Tengah lagi, kerajaan negeri juga kini giat membangun dan menaik taraf jalan pesisir di seluruh Sarawak supaya dapat memastikan penduduk di luar bandar dapat menikmati ekses jalan yang baik.

    “Inilah usaha kita untuk rakyat dalam memastikan keselesaan dan kemudahan asas penduduk terutama di luar bandar terus dapat dinikmati oleh semua,” ujarnya. – Sarawakiana




  • No Comment to " Awang Tengah Mahu Batang Sadong Kekal Kubu Kuat BN "