• AS Sahkan Pyongyang Arah Bunuh Jong-Nam

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+

    WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini secara rasmi mengesahkan bahawa Korea Utara mengarahkan supaya abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un dibunuh dengan menggunakan bahan terlarang iaitu agen saraf VX.

    Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert menerusi satu kenyataan berkata, perbuatan yang mengarahkan supaya Kim Jong-nam dibunuh itu disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap pendirian sejagat yang menentang penggunaan senjata kimia.

    “Hal ini secara tidak langsung menunjukkan Korea Utara bersikap melulu dan AS tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang program nuklear yang dibangunkan oleh negara itu,” katanya.

    Pengesahan itu juga menjadi alasan kukuh untuk AS terus me­ngenakan sekatan terhadap Korea Utara biarpun Korea Selatan menya­takan Pyongyang sudah bersedia untuk berunding mengenai menamatkan program nuklearnya.

    Keadaan itu secara tidak langsung akan menyukarkan lagi sesi dialog antara Washington dengan Pyongyang berhubung isu senjata nuklear.

    Dua suspek utama didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, Malaysia kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan pada 13 Februari tahun lepas.

    Dalam perkembangan lain, dua pegawai kanan Korea Selatan yang dilantik sebagai wakil khas ke Korea Utara akan berlepas ke Washington esok bagi menjelas­kan hasil pertemuan dengan pe­mim­pin negara tersebut.

    Menurut sumber kerajaan Korea Selatan, kedua-dua pegawai tersebut iaitu Ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Suh Hoon dan Ketua Pejabat Keselamatan Kebangsaan, Chung Eui-yong dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump.

    Eui-yong semalam memaklumkan bahawa beliau akan menyampaikan mesej daripada Jong-un kepada para pegawai kerajaan AS.

    “Korea Utara memberi jaminan untuk tidak melancarkan ujian peluru berpandu ketika rundi­ngan dengan komuniti antarabangsa dilakukan dan negara itu tidak melakukan sebarang pelancaran senjata nuklear sejak November tahun lalu,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memaklumkan beliau tidak mempunyai pe­rancangan untuk mengurangkan sekatan terhadap Pyongyang bagi membolehkan rundingan dengan negara itu dilakukan dan menyatakan masih terlalu awal untuk bersikap optimistik berhubung perbincangan tersebut.– AGENSI

    Subjects:

  • No Comment to " AS Sahkan Pyongyang Arah Bunuh Jong-Nam "