• AS lulus jual senjata ke Ukraine

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    WASHINGTON: Amerika Syarikat secara rasminya meluluskan penjualan peluru berpandu anti-kereta perisai Javelin ke Ukraine, kata Jabatan Negara pada Khamis, satu langkah yang pasti mencetus kemarahan musuh Kiev, Russia.

    Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan berkata Ukraine meminta pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mendapatkan 210 peluru berpandu dan 37 pelancar dengan kos sekitar AS$47 juta (RM184.6 juta).

    Kakitangan dan kontraktor kerajaan AS akan membantu menghantar senjata berkenaan dan melatih tentera Ukraine, yang sedang memerangi pemberontakan disokong Russia di timur negara itu, untuk menggunakannya.

    "Sistem Javelin akan membantu Ukraine membina kapasiti pertahanan jangka panjangnya untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya sekali gus memenuhi keperluan pertahanan kebangsaannya," kata kenyataan itu.

    Amerika Syarikat dan sekutunya di Barat menyokong Ukraine dalam perjuangannya untuk menyatukan semula negaranya selepas Russia menguasai wilayah Crimea dan pemberontak pro-Russia merampas dua kawasan perindustrian timur. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " AS lulus jual senjata ke Ukraine "