• Arul Kanda: Ukur kejayaan 1MDB berdasarkan TRX, Bandar Malaysia

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+
    Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahu kejayaan 1MDB diukur berdasarkan kejayaan syarikat milik kerajaan itu merealisasikan pembinaan 2 projek meganya – Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

    Beliau berkata, kejayaan 2 projek itu menafikan segala tohmahan yang sering dilontarkan pembangkang terhadap syarikat berkenaan.

    Ini kerana, katanya, tindakan melayan dan menyaman pembangkang hanya akan membuang masa dan mengelirukan rakyat dengan fitnah serta informasi tidak benar.

    “Banyak tindakan telah diambil ke atas mereka yang membuat fitnah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengeluarkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua kerana mengeluarkan fitnah terhadap beliau, selain Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang disaman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atas fitnah berkaitan 1MDB.

    “Itulah sebabnya pada saya, kalau nak sebut pasal bab fitnah dan saman orang, kalau kita saman yang menang siapa? Peguam.

    “Peguam juga yang kaya, tetapi apa yang lebih penting kepada saya ialah membuktikan kepada mereka (pembangkang) kita boleh selesaikan segala isu berkaitan 1MDB ini,” katanya ketika berucap pada program Diskusi 1Minda 1Bicara 1MDB, malam tadi.

    Menurut Arul Kanda, masyarakat juga boleh melihat dan menilai sendiri pembangunan yang giat berjalan di sekitar TRX yang sehingga hari ini masih diteruskan dan mendapat perhatian pelabur tempatan serta antarabangsa.

    “Itu yang saya mahu tunjukkan. Walau apapun fitnah pembangkang, syarikat 1MDB ini tidak bankrap, masih berupaya membayar hutangnya.

    “Syarikat ini masih membangunkan aset-aset yang kita ada dan ini adalah fakta tidak dapat dinafikan pembangkang sendiri dan ini jauh lebih baik daripada membuat saman fitnah kepada pembangkang.

    “Sehingga kini kita berjaya menarik pelabur ke TRX seperti HSBC Bank Malaysia Bhd yang bakal membina ibu pejabat terbesar di Asia Tenggara, selain Prudential, Affin Bank Berhad, Lembaga Tabung Haji dan banyak lagi.”

    Menurutnya, 1MDB juga membelanjakan RM3 bilion bagi pembinaan infrastruktur di sekeliling TRX seperti pasar baharu untuk peniaga, dan pembinaan jalan terus ke lebuh raya utama seperti Terowong SMART, Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

    Arul Kanda berkata, nilai aset milik 1MDB ketika ini sebanyak RM43 bilion, melebihi nilai hutang semasa berjumlah RM31 bilion, dengan majoriti aset itu merupakan sektor hartanah yang dilihat mempunyai jumlah lebih daripada mencukupi untuk membayar hutang syarikat berkenaan.

    Katanya, pembangkang menggunakan masalah perniagaan dihadapi 1MDB sebelum ini sebagai modal utama untuk memburuk-burukkan kerajaan.

    “Pembangkang mengaitkan Najib yang juga pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sebagai orang yang bertanggungjawab dalam segala perkara berkaitan 1MDB, sedangkan hakikatnya jawatan berkenaan tidak mempunyai sebarang kuasa di bawah undang-undang dan Akta Syarikat.

    “Mereka (pembangkang) sangat suka berkata ‘sue me’ atau ‘samanlah saya’, tetapi apabila mereka disaman, mereka akan gunakan pelbagai alasan seperti peguam mereka sakit, dokumen mereka tidak ada dan macam-macam alasan untuk melambatkan perbicaraan.”

    Beliau berkata, ini termasuklah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sengaja berhelah dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

    “Tapi, kalau kita saman dia, apa yang dia cakap? Saya dah penat, saya tak tahu, orang lain ‘habaq’ pada saya, saya ikut cakap orang saja, orang lain boleh cakap macam tu saya pun ikut saja. Inilah jawapan yang beliau berikan baru-baru ini dalam perbicaraan RCI.”. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Arul Kanda: Ukur kejayaan 1MDB berdasarkan TRX, Bandar Malaysia "