• Artikel Ipoh Dalam 'The New York Times' Membanggakan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    SLIM RIVER: Artikel mengenai bandaraya Ipoh yang disiarkan dalam sebuah akhbar dunia, The New York Times, baru-baru ini merupakan satu lagi pencapaian yang amat membanggakan bagi kerajaan negeri dan semua rakyat Perak.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pencapaian itu merupakan kejayaan buat kerajaan negeri yang selama ini berusaha untuk membangunkan bandaraya Ipoh supaya menjadi destinasi utama yang harus dikunjungi.

    "Mereka (The New York Times) membuat satu analisis mengapa Ipoh perlu berada dalam radar pengembara seluruh dunia, ia adalah satu pengiktirafan.

    "Pengiktirafan seperti ini membuktikan bagaimana kita (kerajaan negeri) membangunkan Ipoh sehingga menjadi destinasi utama dunia," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian geran tanah kepada 115 peneroka Felda Besout 2 di sini pada Isnin.

    Artikel bertajuk 'Why Ipoh, Malaysia, Should be on your Travel Radar' (Mengapa Ipoh, Malaysia, Harus Ada Dalam Radar Pengembaraan Anda) itu diterbitkan pada Rabu lepas.

    Tahun lalu, Ipoh pernah diiktiraf dalam portal pengembaraan dunia, Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati.

    Mengulas lanjut, Zambry berkata usaha untuk membangunkan negeri serta bandaraya Ipoh khususnya dalam aspek kebersihan perlu diteruskan walaupun telah diberi pengiktirafan sedemikian.

    "Kita perlu secara bersama meneruskan apa yang dirancang, kekalkan kebersihan dan pastikan identiti-identiti yang membuatkan bandaraya Ipoh ini sangat unik terus dipelihara," katanya.

    Selain itu, katanya kerajaan negeri juga akan berusaha untuk membangunkan kawasan luar Ipoh seperti Tanjung Malim agar menjadi bandar yang maju.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Artikel Ipoh Dalam 'The New York Times' Membanggakan "