• Arab Saudi mahu ‘bersihkan’ buku teks sekolah dari pengaruh Ikhwan

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+
    (Gambar AFP)
    RIYADH: Arab Saudi berusaha mengubah kurikulum sekolah daripada sebarang pengaruh Ikhwanul Muslimin di samping memecat pekerja yang menyokong kumpulan yang diharamkan negara itu.

    Kerajaan Arab Saudi akan “memerangi ideologi keganasan dengan mengkaji semula kurikulum dan buku sekolah bagi memastikan ia bebas daripada agenda Ikhwanul Muslimin yang diharamkan”, kata Menteri Pendidikan Ahmed bin Mohammed al-Issa.

    Ia juga berusaha “mengharamkan buku yang dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin dari semua sekolah dan universiti dan memecat semua kakitangan yang menyokong kumpulan itu”, tambahnya.

    Beliau berkata demikian selepas Mahkota Putera Mohammed bin Salman berkata dalam temubual dengan saluran Amerika Syarikat CBS, bahawa unsur Ikhwanul Muslimin, yang dituduh sebagai “kumpulan pengganas” oleh Arab Saudi, telah menyusup masuk ke sekolah di Arab Saudi.

    Putera yang berikrar menjadikan negara itu sebagai “Islam sederhana”, menyekat peranan politik agamawan dalam membentuk kerajaan baru Saudi.

    Ramai ahli Ikhwanul Muslimin dari Mesir yang terlibat menentang kerajaan mereka, mencari perlindungan di Arab Saudi selepas dianiaya Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser pada 1960-an.

    Para Islamis dilantik dengan meluas dalam sektor pendidikan dan awam, mengetepikan fahaman mereka dan menerima ideologi rasmi Arab Saudi iaitu Wahabi yang memerlukan ketaatan kepada pemerintah.

    Badan hak asasi Human Rights Watch (HRW) pada September lalu berkata kurikulum pendidikan agama kerajaan menyebabkan sikap tidak bertoleransi dengan “bahasa kebencian dan mengapi-api” terhadap minoriti agama.

    HRW berkata tinjauan komprehensif ke atas buku sekolah yang dihasilkan kementerian pendidikan mendapati terdapatnya ajaran ganas dan tidak bertoleransi, walaupun kerajaan berjanji secara rasmi untuk menghapuskannya.

    AS menganggap Arabi Saudi sebagai negara yang mempunyai “kebimbangan khusus” apabila ia melibatkan penganiayaan agama, tetapi pentadbiran AS yang bersilih ganti enggan mengenakan sebarang sekatan.

    HRW mendesak AS, sekutu utama Saudi, mengakhiri layanan itu.- AFP/FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi mahu ‘bersihkan’ buku teks sekolah dari pengaruh Ikhwan "