• APMM Lahad Datu tahan 19 PATI Di Tanjung Labian

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+


    LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari daerah ini ke Filipina, di perairan Tanjung Labian semalam.

    Pengarah Maritim Pangkalan Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael berkata semasa pihaknya melaksanakan tinjauan pada 3 pagi, mereka mengesan sebuah bot pancung membawa PATI warga Filipina berumur setahun sehingga 45 tahun yang mahu pulang ke Filipina melalui jalan yang tidak diwartakan.

    "Hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan terdapat 19 penumpang terdiri daripada enam lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki serta enam kanak-kanak perempuan.

    "Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Radzil berkata kesemua PATI dibawa ke jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau berkata Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk sebarang kejadian termasuk kecemasan

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " APMM Lahad Datu tahan 19 PATI Di Tanjung Labian "