• Anwar Gagal Saman Batal Sabitan, Hukuman Liwat

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan penipuan berkaitan bukti dalam sabitan kes liwat yang dihadapinya terhadap pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

    Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan demikian selepas mendapati saman yang difailkan pada 17 April tahun lalu tidak mempunyai sebarang kausa yang munasabah, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

    Anwar memfailkan saman berhubung penipuan tersebut dalam satu lagi percubaan untuk dibebaskan dari penjara.

    Anwar antara lain, memohon perintah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015, berdasarkan keterangan palsu oleh Mohd. Saiful.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa bahawa Mohd. Saiful telah membuat sumpah bohong, yang diketahui oleh defendan (kerajaan) adalah palsu, namun defendan bergantung kepada sumpah palsu dan memanfaatkan sumpah bohong itu untuk kelebihannya.

    Anwar pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012, tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun. Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Anwar Gagal Saman Batal Sabitan, Hukuman Liwat "