• Anak Jutawan Antara Mangsa Korban Dalam Nahas Pesawat Di Iran

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    Shahr-e Kord: Anak jutawan Turki, Huseyin Basaran, Mina Basaran, disahkan antara 11 penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat peribadi yang terhempas di kawasan pergunungan di Iran.

    Pesawat jenis Bombardier CL604 itu membawa lapan penumpang dan tiga anak kapal, dalam perjalanan pulang dari Dubai.

    Ketua Palang Merah Turki mengesahkan tiada penumpang terselamat, disebabkan pesawat berkenaan terhempas dalam keadaan cuaca buruk.

    Sementara itu, jurucakap Organisasai Penerbangan Awam Iran, Reza Jafarzadeh memaklumkan, pesawat tersebut terhempas di barat daya bandar Shahr-e Kord.

    Penduduk tempatan yang pertama tiba di lokasi nahas memaklumkan tiada mangsa ditemui terselamat, dan sebahagian mayat mangsa dilaporkan rentung.

    Lokasi nahas yang terletak di kawasan pergunungan juga menyukarkan usaha mengeluarkan mangsa.

    Selain Mina, penumpang lain pesawat tersebut difahamkan rakan rapat beliau, yang baru selesai mengadakan parti bujang, sebelum Mina dijadualkan melangsungkan perkahwinan bulan depan.

    Pesawat peribadi berkenaan adalah milik Huseyin Basaran, bekas timbalan pengerusi kelab bola sepak Turki, Trabzonspor.

    Basaran memiliki beberapa rangkaian perniagaan besar, termasuk dari kapal layar kepada sektor tenaga.

    Salah satu daripada syarikatnya disenarai sebagai pemilik terbesar saham di Bank Middle East (BSC).

    Basaran turut memiliki beberapa projek pembinaan apartment mewah di Istanbul, dinamakan sempena anaknya 'Mina Tower'.

    Beberapa jam sebelum nahas, Mina Barasan memuatnaik gambar beliau dan tujuh rakan rapatnya dengan #minasbachelorette.

    Gambar berkenaan dirakam di sebuah hotel mewah di Dubai. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Jutawan Antara Mangsa Korban Dalam Nahas Pesawat Di Iran "