• Anak Derhaka, Bapa Yang Terpenjara

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    MAGETAN, Jawa Timur: Kerana anaknya sering mengamuk jika tidak diberi wang, Ahmad Kohir, 45 tahun, bertindak mahu memberi pengajaran kepada anak lelakinya, namun perkara yang jauh lebih buruk berlaku.

    Mohamad Aziz, 17, yang merupakan seorang penganggur, kerap meminta wang dengan ibu bapanya dan jika tidak memenuhi permintaannya, Mohamad Aziz akan bertindak mencederakan ibu dan adiknya.

    Kejadian ini turut berlaku dua hari lalu. Menurut Detiknews, bapanya yang hanya bekerja buruh tidak dapat memenuhi permintaan Mohamad Aziz lalu mereka berkelahi.

    Kerana tidak tahan dengan sikap anaknya, Ahmad Kohir bertindak menetak kepala anaknya menggunakan tukul. Mohamad Aziz cedera parah lalu maut di tempat kejadian iaitu di rumah mereka.

    Ketika kejadian, ibu dan adik mangsa tiada di rumah. Mereka telah berpindah ke rumah keluarga mereka yang lain kerana tidak tahan dengan sikap Mohamad Aziz yang sering mengamuk itu.

    Lebih mengharukan, Ahmad Kohir dengan sendirinya telah menyerah diri di pejabat daerah sejurus selepas kejadian.

    Dia ditahan atas tuduhan membunuh dengan niat dan dia turut mengaku telah membunuh anaknya yang masih di bawah umur.

    Ahmad Kohir disabit kesalahan di bawah dua fasal iaitu Fasal 80 Undang-Undang Perlindungan Anak dan Fasal 44 Undang-Undang Republik Indonesia 2004 berkenaan dengan penghapusan keganasan dalam rumah tangga.

    Ahmad Kohir dihadapkan hukuman 20 tahun penjara atau penjara seumur hidup. Menurut polis, dalam masa terdekat, kes itu akan disiasat di Tempat Kejadian Perkara (TKP) untuk mendapatkan butiran lanjut. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Derhaka, Bapa Yang Terpenjara "