• Amalan Demokrasi Bukan Tiket Burukkan Negara - PM Najib

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    SERDANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia bukan tiket bagi mana-mana pihak untuk sewenang-wenangnya memburukkan negara.

    Beliau berkata tindakan memperlekeh negara untuk keuntungan politik tidak boleh diterima walaupun kerajaan terbuka dalam meraikan perbezaan pendapat.

    "Kita boleh berbeza pendapat dalam sistem demokrasi tetapi ia tetap bukan alasan yang membenarkan sesiapa sahaja memburuk-burukkan negara sendiri.

    "Tindakan demi mengaut keuntungan politik ini hanya akan menyebabkan negara luar hilang kepercayaan kepada negara kita," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-46 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat kebangsaan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

    Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

    Najib berkata tindakan menyalahgunakan kebebasan menyatakan pendapat atas nama demokrasi sehingga memburukkan negara yang semakin menjadi-jadi itu dibuat secara jelas melalui tulisan di media sosial.

    Perdana Menteri berkata tindakan semata-mata untuk mengaut keuntungan politik itu jelas membuktikan pihak berkenaan ketandusan idea dalam agenda membangunkan negara, berbanding kerajaan yang sentiasa fokus dalam mensejahterakan rakyat dan negara.

    Najib turut mengaitkan ketandusan agenda membantu rakyat itu dengan 'kesukaran' kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu air yang sering melanda negeri tersebut.

    Beliau membandingkan keadaan itu dengan keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) merangka agenda membangunkan negara yang lebih kompleks seperti kejayaan Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang ternyata memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

    "Kalau kita boleh laksanakan projek MRT, iaitu kereta api tanpa pemandu....tak kanlah masalah air pun tidak boleh diselesaikan," katanya.

    Najib berkata apa yang berlaku di Selangor adalah akibat permainan politik keterlaluan yang kesudahannya terpaksa ditanggung oleh rakyat. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Amalan Demokrasi Bukan Tiket Burukkan Negara - PM Najib "