• Ajal Terjerut Tali Langsir

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+

    Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas lehernya terjerut tali langsir di rumah keluarganya di Jalan Meru Impian 10, Halaman Meru Impian, Meru Raya, Ipoh, petang tadi.

    Dalam kejadian 2.15 petang itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tergantung pada tali pengikat langsir berkenaan oleh ibu tirinya berusia 30 tahun di ruang masuk dapur rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika kejadian, mangsa dan ibu tirinya berada di rumah manakala bapa mangsa, seorang pensyarah berusia 33 tahun berada di Bangi, Selangor atas urusan kerja.

    Katanya, sebelum kejadian, ibu tiri mangsa memberikan makanan kepada mangsa sebelum kanak-kanak itu bermain di ruang tamu, manakala ibu tirinya memasak di dapur.

    Beliau berkata, ibu tiri mangsa kemudian berasa tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara mangsa dari ruang tamu.

    "Apabila ibu mangsa memasuki ruang tamu, dia mendapati leher mangsa terjerut dan tubuh mangsa tergantung di tali langsir ruangan masuk ke dapur.

    "Ibu tiri mangsa mengangkat dan menurunkan mangsa di atas lantai. Ketika itu mangsa tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Mohd Ali berkata, susulan itu, ibu tiri mangsa menghubungi bapa mangsa sebelum menghubungi kakaknya yang tinggal selang satu rumah dari rumah berkenaan.

    "Ibu mangsa menghubungi talian kecemasan dan pihak hospital mengajar cara membuat bantuan pernafasan (CPR) menerusi telefon sementara menunggu ketibaan ambulans.

    "Ketika itu, mangsa memberikan tanda positif apabila ibu mangsa merasai denyutan nadi dan terdapat susu keluar dari mulut mangsa," katanya.

    Beliau berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada 3 petang.

    Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai bermain di tali pengikat langsir dan terdapat tangga bersebelahan pintu masuk ke dapur.

    "Hasil bedah siasat pada 6.55 petang mendapati mangsa maut akibat kesan tekanan pada leher yang konsisten akibat tergantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ajal Terjerut Tali Langsir "