• Ahmad Zahid Aju Soalan Kepada Pengamal Media

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecah tradisi pada satu majlis yang dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini apabila beliau sendiri mengajukan soalan kepada tetamu yang hadir.

    Pada Majlis Makan Tengah Hari Timbalan Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengajukan kira-kira 10 soalan yang secara umumnya menyentuh mengenai isu yang dihadapi industri media.

    "Majlis seperti ini adalah kali pertama diadakan, biasanya saya yang menjawab soalan daripada media secara formal, hari ini saya pula ingin bertanya kepada pihak media," katanya.

    Ingin juga saya maklumkan bahawa perjumpaan hari ini bukanlah berkaitan pilihan raya umum walaupun masanya hampir-hampir musim pilihan raya," katanya pada majlis dihadiri kira-kira 500 pengurusan kanan dan pemimpin organisasi media serta pemegang permit penerbitan.

    Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut meminta pendapat Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang mengenai kedudukan Malaysia yang kini berada di tempat ke-144 daripada 180 negara untuk indeks kebebasan media.

    Azman menjawab penilaian indeks tersebut telah dipengaruhi oleh beberapa insiden dan tidak menggambarkan situasi keseluruhan sesebuah negara.

    "Malah indeks kebebasan media hanya tertumpu pada media cetak sahaja bukannya dari semua jenis media termasuk media sosial," katanya.

    Antara soalan lain yang diajukan Ahmad Zahid adalah mengenai cadangan melihat semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan cadangan penubuhan Majlis Media.

    Ketika mendengar pula isu yang diutarakan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) Arief Hakim mengenai ancaman pasaran buku secara dalam talian (eBook), Ahmad Zahid berkata eBook di Malaysia hanya satu peratus sahaja dan tidak mengganggu pasaran buku bercetak.

    Beliau berkata selain Malaysia, pasaran eBook di India mencecah lima peratus dan di negara-negara Barat pula stabil pada kadar nisbah 80:20.

    "Kami merasakan eBook bukan isu besar kepada pasaran buku bercetak.

    "Malah, kami suka pasaran eBook berkembang pesat di negara ini memandangkan kos penerbitan dan kertas yang semakin meningkat antara 80 hingga 100 peratus sejak empat tahun lalu," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ahmad Zahid Aju Soalan Kepada Pengamal Media "