• Ahli Baharu PAN Kecohkan Dewan Rakyat

    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pagi ini kecoh apabila ahli baharu PAN, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempolitikkan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    Sewaktu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany menjawab soalan daripada Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai konsep TN50, Mahfuz bersama dua lagi ahli Parlimen Pas bangkit menunggu giliran untuk mendapat kebenaran bertanyakan soalan tambahan.

    Apabila melihat ketiga-tiga mereka berdiri serentak, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said memberi peluang kepada Mahfuz untuk bertanyakan soalan tambahan.

    “Dari Pas ke Bebas, dari Bebas ke Amanah (PAN), hendak tengok soalan daripada orang baharu Amanah,” kata Ismail.

    Bagaimanapun bekas ahli Pas itu secara terpekik menyindir pelaksanaan TN50 sehingga membuatkan ahli-ahli Dewan Rakyat meminta beliau segera bertanyakan soalan dan mengecamnya yang tidak menggunakan peluang bagi memberi soalan tambahan.

    “Waktu dalam Pas tidak berperangai macam itu, bila masuk Amanah jadi samseng,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

    Selepas keadaan kembali tenteram, Yang Dipertua Dewan Rakyat melahirkan rasa kesalnya terhadap kekecohan yang berlaku.

    “Yang Berhormat sekalian, saya sengaja jemput Pokok Sena sebab saya ingat beliau dari Pas ke Bebas, dari Bebas ke Amanah beliau akan lebih beramanah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Baharu PAN Kecohkan Dewan Rakyat "