• Abang Johari Akan Umum Hak Sarawak Yang Dikembalikan Selasa Ini

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan hak-hak Sarawak yang bakal diserahkan kembali oleh kerajaan persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dan Perlembagaan Persekutuan pada Selasa ini di Kuching.

    Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan persetujuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis atau terambil di bawah MA 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

    "Saya akan umumkan hak-hak yang akan kita dapat balik dan menjadi hak-hak Sarawak. Saya tidak mahu umumkan di sini sekarang. Kalau nak dengar boleh datang ke Kuching.

    "Saya berani melakukan semua ini kerana hanya kita boleh menentukan masa depan kita sendiri dan banyak pembangunan strategik akan dilakukan," katanya semasa berucap pada Malam Perpaduan bersempena sambutan Chap Goh Meh, di sini malam tadi.

    Sementara itu, beliau berkata Sarawak perlu ada satu polisi baharu bagi melindungi kepentingan semua rakyat dan ini menuntut kerjasama erat parti-parti politiknya seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak, Parti Demokratik Progresif dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi menyalurkan suara rakyat.

    Sehubungan itu, beliau menggesa agar SUPP dan UPP bersatu demi menjaga kepentingan masyarakat Cina yang mereka wakili di negeri ini.

    Katanya pada lima majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang beliau hadiri di negeri ini, masyarakat Cina Sarawak meminta beliau berusaha menyatukan SUPP dan UPP.

    "Saya akan cuba tetapi semua ini terpulang kepada komuniti Cina dan ahli-ahli politik (Cina) perlu menimbang kepentingan komuniti mereka," katanya.

    "Kalau SUPP yang mempunyai tujuh kerusi dan UPP lima kerusi bersatu memang boleh jadi kuat. Tapi apabila kamu berpecah susah untuk urus.

    "Tapi bila kita fikirkan tentang Sarawak kita perlu bersatu kerana yang akan mendapat manfaat ialah rakyat Sarawak dan juga masyarakat Cina," katanya.

    Abang Johari berkata sebagai ketua menteri, beliau memerlukan satu pasukan mantap untuk mentadbir dan membangunkan Sarawak yang mempunyai masa depan yang cerah.

    Ini katanya ditambah pelaburan berbilion ringgit daripada China yang memerlukan penyertaan masyarakat Cina dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri.

    "Pelaburan China banyak masuk kerana mereka mengetahui kita mempunyai budaya percaya-mempercayai. Mereka sanggup berkongsi teknologi untuk mendapatkan tenaga hidrogen daripada sumber air. Sarawak mempunyai banyak sumber air yang boleh dimanfaatkan.

    "Menerusi teknologi ini, hujung tahun ini satu prototaip bas menggunakan kuasa hidrogen akan diperkenalkan. Jadi Sarawak boleh belajar daripada China kerana anda semua boleh berbahasa Mandarin. Oleh sebab itu kita memerlukan masyarakat Cina," katanya.

    Turut hadir Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang juga Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.-- BERNAMA
  • No Comment to " Abang Johari Akan Umum Hak Sarawak Yang Dikembalikan Selasa Ini "