• Abang Jo Yakin Inisiatif Diperkenalkannya Mampu Pacu Pembangunan Sarawak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Semua inisiatif yang telah dilaksanakan merupakan landasan yang betul untuk memacu pembangunan Sarawak kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Beliau yakin segala inisiatif yang diperkenalkannya sejak memegang tampuk pimpinan negeri tidak secara membuta tuli sebaliknya dikaji secara mendalam sebelum ia dilaksanakan.

    Memetik laporan Urusan Borneo, katanya ia termasuk penubuhan syarikat minyak dan gas, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang diumumkannya baru-baru ini, walaupun ia amat berisiko.

    “Tidak mudah untuk mengumumkan Petros kerana faktor seperti statusnya dan undang-undang yang terlibat tetapi sebagai pemimpin, saya berani untuk mengambil risiko kerana saya percaya bahawa kita mempunyai hujah undang-undang yang memihak kepada kita.

    “Saya fikir kita berada di landasan yang betul kerana kita merasakan kedudukan undang-undang kita sangat jelas dalam perlembagaan dan ia adalah undang-undang tertinggi persekutuan,” katanya.

    Abang Johari turut menegaskan, dengan penubuhan Petros, ini bermakna Sarawak akan mempunyai kuasa untuk mengawal selia di mana pemain industri minyak dan gas perlu mematuhi undang-undang negeri.

    “Ia sama seperti anda memiliki tanah dan surat hak milik sendiri tetapi jika ingin membina sebuah rumah di tanah tersebut, anda memerlukan kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu.

    “Jika kerajaan mengatakan bahawa anda perlu meminda pelan rumah yang ingin dibina itu, maka anda perlu berbuat demikian walaupun tanah itu adalah tanah anda.

    “Begitu juga dengan minyak kita. Sarawak mempunyai hak ke atas tanahnya dan jika Shell, contohnya mahu meletakkan platform di sini, mereka perlu bertanya kepada kami....ini sangat mudah kerana itu adalah hak kerajaan,” katanya.

    Tambahnya, segala inisiatif yang diperkenalkannya adalah untuk membawa perubahan kepada Sarawak ke arah yang lebih maju dan ia adalah seperti apa yang diikrarkannya ketika mengambil alih jawatan ketua menteri.

    Beliau turut berjanji akan melakukan yang terbaik untuk melindungi Sarawak.

    “Saya percaya saya ada kuasa dalam diri saya dan inilah kepimpinan yang saya ada. Sebagai pemimpin, kita mesti cukup berani untuk membawa perubahan kepada diri dan negeri kita,” katanya. - Sarawakiana


  • No Comment to " Abang Jo Yakin Inisiatif Diperkenalkannya Mampu Pacu Pembangunan Sarawak "