• 99% Manifesto Di Parlimen Petra Jaya Berjaya Ditunai

    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    KUCHING – Kira-kira 99 peratus manifesto Barisan Nasional (BN) untuk kawasan Parlimen Petra Jaya pada pilihan raya lalu berjaya dilaksanakan, kata Anggota Parlimennya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Beliau berkata antaranya ialah projek Bulatan Abang Kipali Abang Akip dan Jambatan Emart yang kini dalam pembinaan.

    “Begitu juga projek Hospital Petra Jaya juga masih dalam pembinaan biarpun kontraktor menghadapi masalah tidak dapat menyiapkan dalam tempoh ditetapkan namun jika mereka mengekalkan corak kerja serta konsistensi dari segi jumlah pekerja ketika ini selewat-lewatnya Mac tahun depan insya-Allah boleh disiapkan,” katanya.

    Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) Parlimen Petra Jaya, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi projek menaik taraf Jalan Matang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dan pintu air bagi mencegah banjir bermusim di DUN Samariang.

    “Ini antara dua perkara besar yang masih dalam perancangan dan insya-Allah kita akan pastikan kedua-duanya dilaksanakan,” katanya.

    Sementara itu Fadillah berkata beliau bersama jentera parti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

    “Di Parlimen Petra Jaya kita tidak hanya berkhidmat apabila hampir pilihan raya sahaja, sebaliknya kita berkhidmat sepanjang masa… itu yang membezakan kita dengan pihak lain.

    “Perkhidmatan yang kita beri bermula sejak pilihan raya lepas lagi iaitu sebaik sahaja saya menjadi wakil rakyat kita telah mula berkhidmat kepada rakyat secara konsisten sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Mengulas mengenai PJSR Parlimen Petra Jaya, Fadillah berkata program anjuran BN bersama agensi kerajaan yang bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup itu mendapat sambutan baik masyarakat sekitar kawasan parlimen tersebut.

    “Sebagai wakil rakyat ini usaha kita untuk membantu meringankan bebanan masyarakat. Kita akan laksanakan satu lagi program yang sama di kawasan Matang pada 17 Mac depan,” katanya. – BERNAMA
  • No Comment to " 99% Manifesto Di Parlimen Petra Jaya Berjaya Ditunai "