• 90 Peratus Penerima BR1M Terima Bayaran Jumaat Ini

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kira-kira 80 hingga 90 peratus penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka menerima bayaran pertama bantuan berkenaan menjelang Jumaat ini.

    Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bantuan berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat-peringkat.

    “Bagi mereka yang belum menerima BR1M, kami harap anda bersabar dan menunggu hingga akhir minggu ini. Kami menjangkakan sekitar 80 hingga 90 penerima BR1M akan menerima wang masing-masing menjelang Jumaat ini.

    “Sesiapa yang mempunyai masalah mengenai BR1M boleh menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini, semalam.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam.

    Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah memaklumkan BR1M mula diagihkan kepada penerima bermula Isnin lalu.

    Seramai tujuh juta rakyat Malaysia layak menerima BR1M membabitkan peruntukan kira-kira RM6.3 bilion.

    Dalam perkembangan lain, Johari berkata, mesyuarat Kabinet, semalam tidak membincangkan isu membabitkan Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.

    “Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memberi penjelasan mengenai isu berkenaan dan beliau menghargai sumbangan bilionair berkenaan kepada Malaysia selama ini.

    “Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan semua kaum memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan ekonomi negara. Isu berkenaan sebenarnya sudah dipolitikkan dan ia juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini (semalam),” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 90 Peratus Penerima BR1M Terima Bayaran Jumaat Ini "