• 5 Warga Asing Antara 54 Ditahan Terlibat Judi Di Sarawak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+
    foto ihsan PDRM
    KUCHING: Seramai lima warganegara asing antara 54 individu disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram ditahan di beberapa daerah negeri ini sepanjang minggu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, sebanyak 40 serbuan dijalankan di 14 buah daerah di negeri ini minggu lalu yang bermula 5 Mac sehingga semalam.

    Menurutnya, kesemua serbuan tersebut telah dilaksanakan di daerah Kuching, Simunjan, Miri, Sibu, Kota Samarahan, Serian, Bintulu, Padawan, Mukah, Meradong, Sri Aman, Bau dan Julau.

    Jelas Dev, daripada 40 serbuan itu, 34 operasi telah dilakukan di premis menjual loteri haram, lima di pusat judi dalam talian manakala satu lagi di tempat judi terbuka.

    "Hasil serbuan polis telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.

    "Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM17,898 disyaki hasil kegiatan judi haram tersebut," katanya menerusi satu kenyataan kepada media hari ini.

    Tambah Dev kesemua yang ditahan berusia 16 hingga 52 tahun dan kesemua individu terbabit kini ditahan reman untuk menjalani siasatan lanjut.

    Kes kini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-Sarawakiana
  • No Comment to " 5 Warga Asing Antara 54 Ditahan Terlibat Judi Di Sarawak "